Wednesday, September 17, 2008

Apa nak jadi?


Pasca 50 tahun merdeka, negara dihempas badai yang cukup menggerunkan. Kestabilan dan kemakmuran negara diuji, semangat setiakawan dan permuafakatan antara kaum tercabar, kegawatan ekonomi bakal melanda disusuli barah politik yang semakin parah! Apa nak jadi ni?Kasihani lah kami anak-anak muda, apa lagi yang tinggal kalau negara porak-peranda, kacau bilau...

Monday, July 21, 2008

AUKU oh KAKU?



Penulis telah dijemput sebagai ahli panel rancangan terbaru RTM 1 berjudul Persepsi yang telah disiarkan secara langsung pada 8.30 mlm, 21 Julai 2008 mengupas persoalan dan isu semasa di samping mendapatkan perspektif masyarakat. Program ini turut menampilkan pensyarah USM, Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk sebagai ahli panel, manakala Shayuti Mukhtar sebagai moderator, yang mana ia dijalankan secara video conferencing. Berikut antara soalan-soalan yang telah dikemukakan:-




2) APA YANG MENDORONG KERAJAAN BERSETUJU MEMBUAT PINDAAN INI. ATAS DESAKAN PEMBANGKANG, PERMINTAAN PERSATUAN MAHASISWA @ BUKTI KERAJAAN LEBIH TERBUKA?

4) UNTUK MELAHIRKAN MAHASISWA YANG MAMPU BERFIKIR “OUT OF BOX” DI MANA TAHAP PEMIKIRAN YANG DIMILIKI OLEH MAHASISWA SEKARANG

6) ANTARA BERPOLITIK DAN BERMASYARAKAT BOLEH HURAIKAN BATAS SEMPADAN DAN RASIONALNYA HAD-HAD TERTENTU DIKENAKAN KEPADA PELAJAR

8) KENAPA APABILA SEBUT TENTANG KEBEBASAN BERSUARA BAGI PELAJAR SERING DIKAITKAN DENGAN PENGARUH PARTI-PARTI PEMBANGKANG BERHALUAN KIRI DSB




AUKU yang mengandungi lima bahagian dan 27 seksyen memperuntukkan pelbagai pasal berhubung universiti dan kolej Universiti. AUKU juga memperuntukkan pelbagai bidang kuasa termasuk struktur organisasi Universiti dan Kolej universiti, etika dan disiplin pelajar serta beberapa lagi perkara yang dilihat penting di dalam memastikan perjalanan universiti terus licin dan sejajar dengan matlamat panubuhan universiti.Melalui kuasa yang diperuntukkan di dalam AUKU, sejak tahun 2000 hingga Disember tahun 2006, terdapat lebih 1700 pelajar dilaporkan melanggar AUKU dengan disabitkan kes meniru sewaktu peperiksaan, menipu, khalwat, berdemonstrasi dan mencuri. AUKU juga yang digubal pada tahun 1971 telah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 1975 dan 1983 bagi memastikan AUKU terus relevan mengikut keperluan semasa. Menurut dakwaan pihak-pihak tertentu, di dalam AUKU terdapat beberapa seksyen yang mengekang dan menyekat mahasiswa malahan universiti. Antara Seksyen tesebut termasuklah seksyen 15 dan 16. Di dalam seksyen 15 (1) menyatakan bahawa tiada siapa jua, semasa menjadi seorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli atau dengan apa-apa cara bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan, badan atau kumpulan.Di dalam konteks semasa, peruntukkan kuasa seksyen ini telah tidak begitu relevan di saat Malaysia yang tumbuh dengan pelbagai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan belia. Setiap NGO dan persatuan belia ini pastinya memerlukan tenaga muda terutama pada mahasiswa, kerana mahasiswa tidak pada punya daya pada tenaga, tetapi kepada pengupaayaan intetelek untuk menggerakkan persatuan dan masyarakat.Di dalam isu yang lebih terkini, kerajaan di bawah usaha kementerian belia dan sukan yang merangka Akta Belia 2005 dan telah dibentangkan di parlimen . Akta Belia 2005 secara khusus telah memperuntukkan pelajar terlibat secara langsung di dalam pertubuhan berdaftar terutama persatuan belia. Akta ini secara jelas telah bercanggah dengan AUKU seksyen 15(1).Seksyen 15(3) pula menyatakan tiada sesiapa jua, semasa menjadi pelajar Universiti boleh menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau pertubuhan atau kumpulan haram.Seksyen 15 (5) memperuntukkan kepada sesiapa yang melanggar peruntukkan seksyen kecil (1), (2), (3) atau (4) adalah bersalah atas kesalahan dan boleh disabitkan, dikenakan denda tidak lebih seribu ringgit atau penjara selama tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.Seksyen 16 dan beberapa seksyen yang lain boleh dikritik dengan memberikan satu bidang kuasa yang luas kepada Naib Canselor dan Menteri sehingga dirasakan boleh berlaku kemungkinan penyalahgunaan kuasa dakwa pihak terbabit. Di dalam seksyen 16 umpamanya, kuasa Naib canselor menggantung atau membubarkan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar.


Hakikatnya, adakah dengan apa sahaja yang dinyatakan dalam Seksyen 15 – mahasiswa menjadi kumpulan yang serba tidak berkemampuan menyatakan apa jua pandangan? Penulis tidak terlalu yakin bahawa Seksyen 15, AUKU mampu menjadikan mahasiswa sebegitu terkongkong dan diikat oleh mana-mana pihak.
Soal keterlibatan dan menyuarakan pandangan adalah dua perkara berbeza. Untuk menyuarakan pandangan – kita tidak perlu mempunyai soal keterlibatan sebagai prasyarat.Dalam suasana dunia sekarang – apakah benar masih wujud keterbatasan melalui AUKU? Saat mahasiswa mampu menyuarakan pandangan melalui laman sesawang dan blog; Seksyen 15 bagaikan menjadi ‘tidak relevan’ untuk membataskan suara dan kesungguhan mahasiswa.
Tapi dalam suasana keterbukaan itu pun, kita masih lagi gagal mendengar idealisme mahasiswa yang luhur dan khusus boleh membantu kepada pembangunan negara bangsa. Melalui pengalaman sendiri, penulis tidak merasakan sangat bahawa AUKU boleh membataskan kematangan dan bersuara. Ruang itu tetap ada, asalkan kita mampu memberikan pandangan yang objektif dan tidak emosional.
Hakikatnya, berdasarkan pengalaman berinteraksi dengan mahasiswa di universiti – kematangan ini tidak wujud kerana salah mahasiswa sendiri. Mahasiswa kita kurang membaca tetapi gemar membicarakan isu-isu ‘dunia’ dan sekali gus terikut-ikut dengan mantera orang luar yang belum tentu boleh diaplikasi secara total dalam ruang lingkup negara sendiri. Dalam konteks menyatakan pandangan dan pendapat, kadang-kadang pemimpin mahasiswa terikut-ikut mantera yang diserampahkan oleh pemimpin pembangkang, natijahnya ide mereka jumud sealiran dan senada dengan kelompok anti-etablishment. Sebaliknya mereka perlu mempertahankan suara pelajar tulen tanpa dipengaruhi oleh mana-mana golongan merangkumi isu yang lebih realistik dan 'membumi' di kampus sendiri!
Kematangan interaksi dan kemampuan berbicara isu-isu besar hanya terkepung di kalangan pimpinan mahasiswa dan kalangan yang aktif dalam Kelab Debat. Majoriti mahasiswa lain masih lagi terkial-kial mencari imej diri. Masih lagi terbelenggu dengan karya-karya kecil; dan tidak kurang yang masih lagi terpesona dengan dunia ‘khayalan’ yang bersifat hibur libur dan tidak membina karakter dan jati diri.Wujud pula suara ‘yang mengatakan AUKU mampu menjadikan mahasiswa gagal berkemampuan membina daya membuat keputusan dan imej diri. Apakah ini benar - dan apa pula sumbangan mereka dalam memastikan suasana ini tidak berlaku?
AUKU tidak sesekali menghalang secara total untuk kumpulan mahasiswa mengadakan program yang bersifat mem- bina dan sedikit kritis. Di sinilah, budi bicara dan hati budi para pimpinan universiti, para Naib Canselor untuk membuat keputusan- berpandukan kepada doktrin perundangan 'in loco parentis' bermaksud institusi pengajian berada pada kedudukan mengganti ibu bapa. Pada kedudukan itu institusi boleh membuat keputusan yang padanya baik untuk pelajar sebagaimana ibu atau bapa membuat keputusan yang pada mereka baik untuk anak mereka, walaupun dalam keadaan biasa keputusan itu mungkin boleh dianggap sebagai pelanggaran kebebasan asasi individu. Di sini Naib Canselor selaku ketua organisasi bertindak dan berperanan sebagai bapa kepada pelaja-pelajar yang bertanggungjawab menjaga dan mendidik mereka.


Hakikatnya, AUKU tidak pun dilaksanakan secara menyeluruh. Sedangkan kalau benar kerajaan mahu melaksanakan secara serius – pastinya ramai yang sudah mampu diambil tindakan melalui AUKU. Itu tidak berlaku.
AUKU dijadikan ‘alasan’ kepada kegagalan mahasiswa sendiri mengenal pasti isu dan masalah yang mampu mereka perjuangkan. Lebih daripada itu, AUKU juga dijadikan ‘kambing hitam’ di atas kegagalan membina imej diri dan perwatakan yang selayaknya digelar graduan.
Pengalaman sendiri dalam menemu duga kalangan graduan cukup mengecewakan. Bukan sahaja gagal memahami isu secara cukup kritis – sesetengahnya tidak pun mampu menerangkan perkara-perkara asas yang melibatkan diri dan jurusan yang diambil. Itu belum termasuk kalangan yang gagal terus berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang cukup asas. Tidak mungkin semua ini berlaku kerana AUKU!
Kelompok mahasiswa perlu menerima hakikat bahawa mereka sedang berada dalam era persaingan yang cukup hebat. Zaman menjadi mahasiswa ‘cukup makan, asal lulus’ sudah tidak punya nilai. Kelemahan akal dan kekurangan inisiatif jangan disalahkan kepada AUKU. AUKU tidak pernah menghalang mahasiswa berfikiran inovatif, kreatif dan kritis. AUKU tidak menghalang mahasiswa membina diri/kumpulan secara serius dan terlibat secara aktif dalam program yang baik dan terpimpin. AUKU tidak pernah menghalang membina cita diri yang penuh berwawasan dan kepimpinan bertanggungjawab.
Janganlah ada mana-mana kumpulan yang gemar menumpang untuk menggunakan AUKU sebagai isu politik. Mahasiswa kita tidak punya isu politik; tetapi punya ‘krisis keyakinan diri’ yang cukup kronik. Sebelum kita serius berbicara tentang mewujudkan pusat pengajian tinggi bertaraf dunia – usaha bersungguh-sungguh juga mesti dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah mahasiswa/graduan ‘mediocre’ yang ada di pusat pengajian tinggi kita.
Kalaupun ada sedikit pembaikan tentang AUKU, ia perlu lebih bersifat ‘pentadbiran’, khususnya pemberian ruang autonomi kepada pimpinan universiti untuk mengurus dengan lebih yakin dan kurang campur tangan. Kita memerlukan kalangan pentadbir universiti yang cekap menukarkan kampus sebagai ‘pusat kos’ – kepada sebuah ‘pusat keuntungan’. Ini selaras dengan semangat dan pendekatan yang terkandung di dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara dan gagasan Universiti Apex.
AUKU bukanlah sebenarnya menjadi tembok kepada penglahiran modal insan kelas pertama. Pokok pangkalnya, tanggungjawab asas kepada seorang mahasiswa adalah menggapai kecemerlangan akademik, wibawa akhlak dan gemilang jati diri. Kata orang tua, ‘janganlah salahkan lantai, kalau diri tak pandai menari’ – AUKU tidak pernah membina insan jumud dan mundur. Cukup janggal kalau menyalahkan AUKU, ketika dunia hanya berada di hujung jari kita.

Tuesday, June 17, 2008

Pasca 100 hari...


100 Hari Pemerintahan telah disambut dengan pelbagai cara , baik kerajaan BN mahupun Pakatan Rakyat, samada insentif RM100 kepada rakyat sepertimana di Pulau Pinang mahupun kenaikan harga minyak!

Hakikatnya, kedua-dua bentuk kerajaan sedang merencanakan dan mempelbagaikan kaedah dan pendekatan untuk memenangi hati rakyat, ternyata memiliki kuasa yang tidak dapat dinafikan kekuatannya terjelma pada 8 Mac yang lalu. Justeru, tempoh percubaan 100 hari yang pertama telah berjaya dilalui, namun timbul persepsi di kalangan rakyat marhaen terhadap janji manifesto yang ditaburkan oleh PR atau BN. Rakyat sedang melakukan analisa dan penilaian mengikut perspektif masing-masing tentang kemampuan Pakatan Rakyat menterjemahkan janji-janji keramat mereka. Begitu jua dengan BN yang masih terkesan dengan 'gelombang tsunami' PRU 12.

Walau apa pun, perjalanan menuju ke garisan penamat masih jauh, isu-isu yang menghimpit rakyat seperti peningkatan harga barang naik (bn) kesan daripada lonjakan harga minyak, dampak sosial seperti jenayah dan kemiskinan pastinya wajar dilunaskan dengan hikmah dan secara agresif. Jika dibiarkan ia dimanipulasi oleh PR, ia akan menutup kelemahan pemerintahan mereka sebaliknya melebarkan kegagalan pentadbiran BN membela nasib dan kebajikan rakyat!

Sunday, June 1, 2008

Kaji Cadangan Wujud Pusat Hiburan Muslim di Kuantan!


SETIAP kali tiba musim cuti persekolahan, Kuantan akan menjadi salah sebuah bandar yang paling sibuk dengan kenderaan di negara ini. Kesibukannya mungkin boleh dikatakan bertambah empat atau lima kali ganda berbanding pada hari-hari biasa.
Sebagai sebuah bandar pelancongan, apa yang berlaku adalah perkara biasa. Kehadiran para pelancong ke Kuantan tidak dapat dinafikan kerana di sini terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati terutama dari segi keindahan pantai-pantainya.
Cherating dan Teluk Chempedak misalnya merupakan destinasi percutian yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Selain pantai-pantai popular tersebut, terdapat juga beberapa 'pantai baru' yang tidak kurang hebat dari segi pemandangan dan keindahan alamnya.
Antaranya ialah pantai Sepat. Terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuantan, keprihatinan pihak tertentu mengubah lanskapnya daripada 'pantai yang sepi' menjadi kawasan riadah lengkap dengan gerai makan dan tempat letak kereta memberi satu lagi pilihan kepada pelancong yang gemar menikmati panorama alam saujana mata memandang.
Menariknya berada di kawasan ini ialah kita akan turut terbuai dengan ayunan pohon-pohon rhu yang tumbuh berbaris setiap kali deruan angin datang menghembus sepoi-sepoi bahasa.
Di sebalik 'kehebatan' pantai sedia ada, jika diteroka lebih jauh, Kuantan juga sebenarnya tidak sunyi daripada aktiviti malam.
Dilaporkan terdapat 135 pusat hiburan berlesen beroperasi di bandar ini.
Malah keadaan itu sering menjadi tarikan orang luar terutama golongan muda dari negeri jiran seperti Terengganu dan Kelantan untuk mendapatkan hiburan pada hujung minggu.
Kebanjiran mereka ini tidak dapat dinafikan turut menyumbang kepada meningkatnya gejala sosial di bandar Kuantan.
Bimbang dengan perkara tersebut, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) baru-baru ini mencadangkan supaya diperkenalkan pula pusat hiburan Islam atau pub Muslim.
Tujuannya baik iaitu sebagai menangani atau usaha untuk menghalang kegiatan luar kawalan yang sering berlaku di pusat-pusat hiburan konvensional.
Apa yang dimaksudkan sebagai pub Muslim ialah pusat hiburan yang tidak mengandungi jualan bahan-bahan haram seperti alkohol atau menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang dilarang dalam Islam.
Sebaliknya, ia menjadi tempat istirehat sambil mendengar lagu atau melakukan aktiviti sihat di kalangan ahli keluarga dan sahabat handai yang inginkan sedikit kelainan ketika berada di luar rumah.
Jika ini menjadi kenyataan, Kuantan bakal menjadi bandar pertama di negara ini yang akan memperkenalkan 'pusat hiburan bermoral.'
Hakikatnya kewujudan pub Muslim seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia telah diperkenalkan di beberapa negara di Eropah bagi menarik pelancong Islam.
Sekali fikir, cadangan MPK mahu mewujudkan pub Muslim wajar diberi perhatian sekiranya ia mampu mengurangkan gejala sosial yang kian membimbangkan.
Bagaimanapun semestinya juga, satu kajian yang lebih menyeluruh patut dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan. Saya sendiri pernah ditanya oleh akhbar Sinar Harian tentang isu ini dan disiarkan di muka hadapan akhbar itu bertarikh 10 Mei 2008, mengenai cadangan supaya ia dikaji agar tidak menerapkan falsafah matlamat menghalalkan cara. Ini berikutan 'pub' itu sendiri membawa konotasi yang negatif di dalam Islam.Satu garis panduan yang jelas perlu direncanakan termasuk aspek pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan Muhrim, penguatkuasaan dan pemantauan termasuk "remodelling" pusat ini seperti Pusat Hiburan Keluarga . Pihak berkuasa tempatan sewajarnya membuat penelitian yang fokus bagi mengelak ia disalah erti oleh golongan tertentu memandangkan ia berkait rapat dengan sensitiviti umat Islam. Jika lebih banyak mudarat daripada kebaikan , adalah lebih baik ia dilupakan dan tidak dilaksanakan . Sebaliknya pusat hiburan yang sedia ada wajib dipantau modus operandinya samada mematuhi peraturan dan diklasifikasikan sebagai zon hiburan positif.

Thursday, May 8, 2008

Ketuanan Melayu Di Sanggah!

Sikap dan tembelang sebenar kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya DAP semakin terserlah. Ternyata mereka semakin berani bermain api dengan mempersoalkan kedaulatan kuasa raja-raja Melayu. Yang menjadi kemusykilannya mana suara pimpinan PAS yang cuba bermain selamat (play-safe), dan pemimpin Melayu dalam PKR?
Hakikatnya, isu ini telah menyedarkan segelintir kaum Melayu terhadap kepentingan kuasa pemerintahan Melayu wajib dikekalkan, dan bukannya isu ketuanan Melayu ini sengaja dipolemikkan. Sebaliknya, parti DAP menggunakan isu ini sebagai medan ujian untuk memperlihatkan sejauh mana rapuhnya pakatan Melayu dalam berdepan dengan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Di sini pentingnya perpaduan Melayu menjadi teras kepada pembinaan bangsa Malaysia yang lebih berhemat, maju dan berwawasan. Jika kita hendak melihat bangsa Melayu terus menerajui kuasa pemerintahan, mulakan lah dengan menyedari tugas dan tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan tanahair!

Wednesday, February 27, 2008

Pentas Arena Memilih Kepemimpinan Rakyat Bermula


Segala spekulasi akhirnya terjawab apabila angka keramat "13" menjadi pilihan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen, menandakan pentas arena memilih kepemimpinan rakyat bermula.
Kekuatan jentera parti Barisan Nasional (BN) memang tidak dapat dinafikan lagi kemaraannya manakala, barisan parti pembangkang pula kelihatan masih bercelaru.
Semangat kerjasama antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 1999 semakin kabur.
Gerak gempur barisan pembangkang itu yang digembar-gemburkan pada dua pilihan raya terdahulu, boleh dianggap hanya tinggal nama semata-mata. Kini ketiga-tiga parti pembangkang terbabit bergerak bersendirian.
Malah, sejak kebelakangan ini, 'perjuangan' mereka tampak ketandusan isu dan dangkal matlamat.
Berbeza dengan dua pilihan raya umum sebelum ini, kali ini tekanan dan kemelut politik bukan dicetuskan parti politik, sebaliknya, ia dicetuskan pula oleh kumpulan rakyat yang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan pelbagai isu yang menyentuh kehidupan mereka.
Ini termasuk tindak-tanduk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).
Namun, ketegasan kepemimpinan kerajaan menangani demonstrasi jalanan dan bertindak terhadap pemimpin Hindraf, berjaya menenangkan keadaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah menyifatkan PKR sebagai parti yang 'mencelarukan' berikutan keputusan PKR Kelantan untuk tidak menyertai pilihan raya umum kerana tidak berpuas hati dengan Pas, manakala DAP bergerak sendirian kerana tidak mahu lagi dipalitkan dengan isu negara Islam yang sudah pasti akan terus menjadi tonggak perjuangan Pas.
Walaupun tidur berbantalkan kekabu yang sama, namun mimpi dan impian berbeza di kalangan pembangkang, dengan Pas mahu menubuhkan sebuah negara Islam, PKR dengan perjuangan yang masih belum jelas, manakala DAP kekal dengan slogan Malaysian Malaysia, memerlukan rakyat berfikiran matang dalam membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang.
Situasi di Pahang pula tidak banyak bezanya berbanding dengan isu pilihanraya ke 11, memandangkan kepimpinan negeri di bawah Datuk Seri Adnan Yaakob masih mengekalkan dan konsisten dengan label sebagai pemimpin rakyat dan mendokong pendekatan negeri kebajikan dan pendidikan sebagai teras pembinaan bangsa dan pembangunan negeri.
Kalau tidak masakan hampir semua kerusi DUN di Pahang dibolot dan diraih oleh BN, yang hanya meninggalkan baki satu kerusi sahaja kepada pihak pembangkang. Mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa beliau bersedia pada bila-bila masa melepaskan kedudukan yang disandang sekarang jika menerima arahan berbuat demikian kerana katanya, semua itu adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar. Ini menunjukkan beliau meletakkan kepentingan parti dan pucuk pimpinan melebihi kepentingan peribadi beliau sendiri.
Ternyata, selama ini prospek pembangunan di Pahang berada pada landasan yang betul dan sesuai melalui perencanaan dasar yang diterjemahkan kepada Projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri.
Ini menyanggah tanggapan bahawa quo vadis atau halatuju kemajuan negeri kubu kuat BN ini yang sebelum ini kabur dilihat bersinar kembali.
Lantaran, rekod kad laporan prestasi dan pencapaian kerajaan yang sedia ada di bawah kepimpinan pemimpin yang mesra di kalangan mahasiswa dengan panggilan "Pak Long"(government of the day) wajar dikekalkan untuk meneruskan kesinambungan rencana pembangunan yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Walaupun terdapat dakyah pembangkang yang membuat perbandingan dengan negeri jiran seperti Terengganu, namun Pahang ada resepi kemajuan tersendiri dan membangunkan negeri mengikut acuannya.

Pertabalan Anugerah Kepimpinan Belia Pahang 2006


Penulis bersama Mentor Besar Dato Sri Adnan Yaakob

selepas menerima anugerah kepimpinan belia Pahang 2006

di Dewan Majlis Daerah Maran, Jun 2006. Syabas bro!

ISU KONTRAK SOSIAL DAN PERPADUAN KAUM


Kontrak sosial adalah satu perjanjian antara kaum Melayu dengan bukan Melayu di Malaysia. Ia diwujudkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai seperti dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan Malaysia dan kini menjadi sebahagian Perlembagaan Malaysia dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera.

Keperluan generasi muda khususnya belia memahami kandungan kontrak sosial dilihat sesuatu yang penting demi kebaikan umum pada masa ini memandangkan negara berhadapan pelbagai cabaran dan tuntutan yang memerlukan masyarakat khususnya generasi pasca merdeka menjiwainya.

Sayugia diingatkan, ia membentuk asas moral, undang-undang, ekonomi dan politik bagi pengagihan polisi keadilan di negara ini. Inilah dasar yang kadangkala dikritik kononnya sebagai diskriminasi oleh mereka yang jahil mengenai persetujuan dicapai oleh semua pihak dan persekitaran yang mendorong kewujudannya. Kaum utama ini turut diberi hak pendidikan dalam bahasa ibunda mereka, tetapi bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah kebangsaan, kaum Cina dan India diberi kebenaran untuk mengadakan pendidikan rendah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Hanya segelintir negara di dunia ini yang mengizinkan kebebasan seumpama itu. Begitu juga, kebebasan beragama, semua kaum bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, bagaimanapun Islam diberi status sebagai agama rasmi negara.

Oleh itu, kontrak sosial adalah teras perpaduan rakyat Malaysia selama ini. Hargai lah nikmat dan anugerah keamanan yang dikurniai dan dikecapi ini dengan memperkukuhkan persefahaman dan kesepakatan yang dibina secara bersama-sama, pertingkatkan lah integrasi dan elakkanlah kontroversi.

Memorial di Istana Presiden 2003

SESI BERSAMA PRESIDEN INDONESIA, MEGAWATI SUKARNOPUTRI
PADA 2003 SEMPENA PROGRAM KAPAL BELIA ASIA (SSEAYP 03)


Penulis bersama wakil Cabinet Office of Japan

pada program 21st Century Renaissance youth leader

di Tokyo Japan , November 2004.


Tuesday, February 26, 2008

Membela isu kemiskinan di bandar.

Maklum balas yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap isu kemiskinan di bandar amat dialu-alukan dan tepat pada masanya. Menurut beliau kemiskinan bandar dan luar bandar adalah antara perkara yang akan dinilai semula dan dimasukkan dalam kriteria baru bagi penentuan serta kelayakan untuk seseorang menerima bantuan kebajikan mulai Januari depan. Ketika ini pemberian bantuan kebajikan tidak mempunyai perbezaan antara penduduk miskin di bandar dan luar bandar. Semua bantuan diberi sama rata mengikut kriteria yang tidak pernah diubah sejak 30 tahun lalu.

Namun demikian, masalah itu hanya selesai setakat itu sahaja, kerana apa yang penting di sini ialah pendekatan "teach them to fish" bukan hanya sekadar kita menyediakan peruntukan atau bantuan. Hakikatnya ia bukan satu isu yang baru kerana kemiskinan di bandar sudah menjadi seakan satu polemik dan dilema khususnya dikalangan masyarakat Bumiputera yang mendiami rumah-rumah pangsa / flat dan kawasan setinggan. Satu garis panduan baru dan takrif kemiskinan perlu didefinisikan semula termasuk mengambilkira pendapatan isi rumah di kawasan bandar dengan taraf sosioekonomi mereka. Mekanisme baru itu amat penting bagi mendalami masalah sebenar masyarakat bandar serta menilai kembali takrifan kemiskinan bagi penduduk bandar.

Definisi berhubung isu kemiskinan sangat sempit kerana masyarakat memandang secara lahiriah iaitu faktor tempat tinggal dan pakaian semata-mata tanpa mengambil kira elemen lain yang turut menyumbang kepada kepayahan hidup. Berbeza dengan masyarakat di kampung yang jelas miskin jika dilihat kepada keadaan rumah yang menanti rebah, takrifan kemiskinan di bandar sebenarnya lebih luas kerana ia lebih berfokus kepada kualiti hidup masyarakat itu sendiri. Ada sesetengah keluarga di bandar nampak tiada masalah kerana tinggal di rumah pangsa atau penempatan setinggan tetapi apabila diselidiki secara lebih terperinci, keluarga itu mungkin berdepan masalah kualiti hidup yang sangat kritikal dan berhadapan dengan desakan hidup.

Secara perbandingannya, di luar bandar pelbagai projek pembangunan dan program pembasmian kemiskinan digerakkan beberapa agensi seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, strategi dan program yang sama juga perlu dijelmakan di kawasan bandar dengan penumpuan kepada kualiti hidup masyarakat dan peningkatan taraf sosioekonomi.

Justeru itu, satu kajian terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan bagi melihat semula garis kemiskinan di bandar supaya lebih memberi gambaran jelas situasi kemiskinan terutama di kawasan bandar besar yang adakalanya lebih kritikal berbanding di kawasan kampung atau tanah rancangan.Mereka yang hidup di kawasan tanah rancangan umpamanya memiliki aset atau hartanah yang boleh diwariskan kepada anak cucu mereka sedangkan golongan yang berpendapatan rendah yang hidup di perumahan flat berhadapan dengan masa depan yang kelam terutamanya dalam aspek pemilikan harta.

Selain itu, faktor penghijrahan terlalu ramai masyarakat luar bandar ke bandar menjadi punca utama peningkatan kos sara hidup di bandar kerana ia secara tidak langsung meningkatkan kos sewa rumah apabila terlalu ramai bertumpu di sesuatu kawasan. Natijahnya, muncul kelompok setinggan yang mengundang seribu satu mehnah kepada kualiti kehidupan masyarakat setempat.Keadaan diburukkan lagi dengan kehadiran ramai rakyat asing, termasuk pendatang tanpa izin yang turut bertumpu kepada punca rezeki yang sama, terutama perniagaan kecil-kecilan dan kerja sampingan.

Ironinya, isu ini perlu dilihat dalam skop yang lebih luas merentasi masalah sosial semata-mata, kerana ia melibatkan tanggungjawab bukan hanya pihak kerajaan tetapi pihak swasta, NGO, pemimpin masyarakat dan ahli politik. Kebanyakan badan bukan kerajaan atau gagasan ekonomi yang diwujudkan wajar menjuarai isu ini, selain peranan yang dimainkan oleh pemimpin politik dan wakil masyarakat.Kita bimbang jika ia tidak dicari jalan penyelesaiannya segara, lambat laun anak bangsa kita akan merempat di tanahair sendiri.