Wednesday, February 27, 2008

Pentas Arena Memilih Kepemimpinan Rakyat Bermula


Segala spekulasi akhirnya terjawab apabila angka keramat "13" menjadi pilihan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen, menandakan pentas arena memilih kepemimpinan rakyat bermula.
Kekuatan jentera parti Barisan Nasional (BN) memang tidak dapat dinafikan lagi kemaraannya manakala, barisan parti pembangkang pula kelihatan masih bercelaru.
Semangat kerjasama antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 1999 semakin kabur.
Gerak gempur barisan pembangkang itu yang digembar-gemburkan pada dua pilihan raya terdahulu, boleh dianggap hanya tinggal nama semata-mata. Kini ketiga-tiga parti pembangkang terbabit bergerak bersendirian.
Malah, sejak kebelakangan ini, 'perjuangan' mereka tampak ketandusan isu dan dangkal matlamat.
Berbeza dengan dua pilihan raya umum sebelum ini, kali ini tekanan dan kemelut politik bukan dicetuskan parti politik, sebaliknya, ia dicetuskan pula oleh kumpulan rakyat yang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan pelbagai isu yang menyentuh kehidupan mereka.
Ini termasuk tindak-tanduk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).
Namun, ketegasan kepemimpinan kerajaan menangani demonstrasi jalanan dan bertindak terhadap pemimpin Hindraf, berjaya menenangkan keadaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah menyifatkan PKR sebagai parti yang 'mencelarukan' berikutan keputusan PKR Kelantan untuk tidak menyertai pilihan raya umum kerana tidak berpuas hati dengan Pas, manakala DAP bergerak sendirian kerana tidak mahu lagi dipalitkan dengan isu negara Islam yang sudah pasti akan terus menjadi tonggak perjuangan Pas.
Walaupun tidur berbantalkan kekabu yang sama, namun mimpi dan impian berbeza di kalangan pembangkang, dengan Pas mahu menubuhkan sebuah negara Islam, PKR dengan perjuangan yang masih belum jelas, manakala DAP kekal dengan slogan Malaysian Malaysia, memerlukan rakyat berfikiran matang dalam membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang.
Situasi di Pahang pula tidak banyak bezanya berbanding dengan isu pilihanraya ke 11, memandangkan kepimpinan negeri di bawah Datuk Seri Adnan Yaakob masih mengekalkan dan konsisten dengan label sebagai pemimpin rakyat dan mendokong pendekatan negeri kebajikan dan pendidikan sebagai teras pembinaan bangsa dan pembangunan negeri.
Kalau tidak masakan hampir semua kerusi DUN di Pahang dibolot dan diraih oleh BN, yang hanya meninggalkan baki satu kerusi sahaja kepada pihak pembangkang. Mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa beliau bersedia pada bila-bila masa melepaskan kedudukan yang disandang sekarang jika menerima arahan berbuat demikian kerana katanya, semua itu adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar. Ini menunjukkan beliau meletakkan kepentingan parti dan pucuk pimpinan melebihi kepentingan peribadi beliau sendiri.
Ternyata, selama ini prospek pembangunan di Pahang berada pada landasan yang betul dan sesuai melalui perencanaan dasar yang diterjemahkan kepada Projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri.
Ini menyanggah tanggapan bahawa quo vadis atau halatuju kemajuan negeri kubu kuat BN ini yang sebelum ini kabur dilihat bersinar kembali.
Lantaran, rekod kad laporan prestasi dan pencapaian kerajaan yang sedia ada di bawah kepimpinan pemimpin yang mesra di kalangan mahasiswa dengan panggilan "Pak Long"(government of the day) wajar dikekalkan untuk meneruskan kesinambungan rencana pembangunan yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Walaupun terdapat dakyah pembangkang yang membuat perbandingan dengan negeri jiran seperti Terengganu, namun Pahang ada resepi kemajuan tersendiri dan membangunkan negeri mengikut acuannya.

Pertabalan Anugerah Kepimpinan Belia Pahang 2006


Penulis bersama Mentor Besar Dato Sri Adnan Yaakob

selepas menerima anugerah kepimpinan belia Pahang 2006

di Dewan Majlis Daerah Maran, Jun 2006. Syabas bro!

ISU KONTRAK SOSIAL DAN PERPADUAN KAUM


Kontrak sosial adalah satu perjanjian antara kaum Melayu dengan bukan Melayu di Malaysia. Ia diwujudkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai seperti dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan Malaysia dan kini menjadi sebahagian Perlembagaan Malaysia dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera.

Keperluan generasi muda khususnya belia memahami kandungan kontrak sosial dilihat sesuatu yang penting demi kebaikan umum pada masa ini memandangkan negara berhadapan pelbagai cabaran dan tuntutan yang memerlukan masyarakat khususnya generasi pasca merdeka menjiwainya.

Sayugia diingatkan, ia membentuk asas moral, undang-undang, ekonomi dan politik bagi pengagihan polisi keadilan di negara ini. Inilah dasar yang kadangkala dikritik kononnya sebagai diskriminasi oleh mereka yang jahil mengenai persetujuan dicapai oleh semua pihak dan persekitaran yang mendorong kewujudannya. Kaum utama ini turut diberi hak pendidikan dalam bahasa ibunda mereka, tetapi bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah kebangsaan, kaum Cina dan India diberi kebenaran untuk mengadakan pendidikan rendah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Hanya segelintir negara di dunia ini yang mengizinkan kebebasan seumpama itu. Begitu juga, kebebasan beragama, semua kaum bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, bagaimanapun Islam diberi status sebagai agama rasmi negara.

Oleh itu, kontrak sosial adalah teras perpaduan rakyat Malaysia selama ini. Hargai lah nikmat dan anugerah keamanan yang dikurniai dan dikecapi ini dengan memperkukuhkan persefahaman dan kesepakatan yang dibina secara bersama-sama, pertingkatkan lah integrasi dan elakkanlah kontroversi.

Memorial di Istana Presiden 2003

SESI BERSAMA PRESIDEN INDONESIA, MEGAWATI SUKARNOPUTRI
PADA 2003 SEMPENA PROGRAM KAPAL BELIA ASIA (SSEAYP 03)


Penulis bersama wakil Cabinet Office of Japan

pada program 21st Century Renaissance youth leader

di Tokyo Japan , November 2004.


Tuesday, February 26, 2008

Membela isu kemiskinan di bandar.

Maklum balas yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap isu kemiskinan di bandar amat dialu-alukan dan tepat pada masanya. Menurut beliau kemiskinan bandar dan luar bandar adalah antara perkara yang akan dinilai semula dan dimasukkan dalam kriteria baru bagi penentuan serta kelayakan untuk seseorang menerima bantuan kebajikan mulai Januari depan. Ketika ini pemberian bantuan kebajikan tidak mempunyai perbezaan antara penduduk miskin di bandar dan luar bandar. Semua bantuan diberi sama rata mengikut kriteria yang tidak pernah diubah sejak 30 tahun lalu.

Namun demikian, masalah itu hanya selesai setakat itu sahaja, kerana apa yang penting di sini ialah pendekatan "teach them to fish" bukan hanya sekadar kita menyediakan peruntukan atau bantuan. Hakikatnya ia bukan satu isu yang baru kerana kemiskinan di bandar sudah menjadi seakan satu polemik dan dilema khususnya dikalangan masyarakat Bumiputera yang mendiami rumah-rumah pangsa / flat dan kawasan setinggan. Satu garis panduan baru dan takrif kemiskinan perlu didefinisikan semula termasuk mengambilkira pendapatan isi rumah di kawasan bandar dengan taraf sosioekonomi mereka. Mekanisme baru itu amat penting bagi mendalami masalah sebenar masyarakat bandar serta menilai kembali takrifan kemiskinan bagi penduduk bandar.

Definisi berhubung isu kemiskinan sangat sempit kerana masyarakat memandang secara lahiriah iaitu faktor tempat tinggal dan pakaian semata-mata tanpa mengambil kira elemen lain yang turut menyumbang kepada kepayahan hidup. Berbeza dengan masyarakat di kampung yang jelas miskin jika dilihat kepada keadaan rumah yang menanti rebah, takrifan kemiskinan di bandar sebenarnya lebih luas kerana ia lebih berfokus kepada kualiti hidup masyarakat itu sendiri. Ada sesetengah keluarga di bandar nampak tiada masalah kerana tinggal di rumah pangsa atau penempatan setinggan tetapi apabila diselidiki secara lebih terperinci, keluarga itu mungkin berdepan masalah kualiti hidup yang sangat kritikal dan berhadapan dengan desakan hidup.

Secara perbandingannya, di luar bandar pelbagai projek pembangunan dan program pembasmian kemiskinan digerakkan beberapa agensi seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, strategi dan program yang sama juga perlu dijelmakan di kawasan bandar dengan penumpuan kepada kualiti hidup masyarakat dan peningkatan taraf sosioekonomi.

Justeru itu, satu kajian terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan bagi melihat semula garis kemiskinan di bandar supaya lebih memberi gambaran jelas situasi kemiskinan terutama di kawasan bandar besar yang adakalanya lebih kritikal berbanding di kawasan kampung atau tanah rancangan.Mereka yang hidup di kawasan tanah rancangan umpamanya memiliki aset atau hartanah yang boleh diwariskan kepada anak cucu mereka sedangkan golongan yang berpendapatan rendah yang hidup di perumahan flat berhadapan dengan masa depan yang kelam terutamanya dalam aspek pemilikan harta.

Selain itu, faktor penghijrahan terlalu ramai masyarakat luar bandar ke bandar menjadi punca utama peningkatan kos sara hidup di bandar kerana ia secara tidak langsung meningkatkan kos sewa rumah apabila terlalu ramai bertumpu di sesuatu kawasan. Natijahnya, muncul kelompok setinggan yang mengundang seribu satu mehnah kepada kualiti kehidupan masyarakat setempat.Keadaan diburukkan lagi dengan kehadiran ramai rakyat asing, termasuk pendatang tanpa izin yang turut bertumpu kepada punca rezeki yang sama, terutama perniagaan kecil-kecilan dan kerja sampingan.

Ironinya, isu ini perlu dilihat dalam skop yang lebih luas merentasi masalah sosial semata-mata, kerana ia melibatkan tanggungjawab bukan hanya pihak kerajaan tetapi pihak swasta, NGO, pemimpin masyarakat dan ahli politik. Kebanyakan badan bukan kerajaan atau gagasan ekonomi yang diwujudkan wajar menjuarai isu ini, selain peranan yang dimainkan oleh pemimpin politik dan wakil masyarakat.Kita bimbang jika ia tidak dicari jalan penyelesaiannya segara, lambat laun anak bangsa kita akan merempat di tanahair sendiri.