Tuesday, June 17, 2008

Pasca 100 hari...


100 Hari Pemerintahan telah disambut dengan pelbagai cara , baik kerajaan BN mahupun Pakatan Rakyat, samada insentif RM100 kepada rakyat sepertimana di Pulau Pinang mahupun kenaikan harga minyak!

Hakikatnya, kedua-dua bentuk kerajaan sedang merencanakan dan mempelbagaikan kaedah dan pendekatan untuk memenangi hati rakyat, ternyata memiliki kuasa yang tidak dapat dinafikan kekuatannya terjelma pada 8 Mac yang lalu. Justeru, tempoh percubaan 100 hari yang pertama telah berjaya dilalui, namun timbul persepsi di kalangan rakyat marhaen terhadap janji manifesto yang ditaburkan oleh PR atau BN. Rakyat sedang melakukan analisa dan penilaian mengikut perspektif masing-masing tentang kemampuan Pakatan Rakyat menterjemahkan janji-janji keramat mereka. Begitu jua dengan BN yang masih terkesan dengan 'gelombang tsunami' PRU 12.

Walau apa pun, perjalanan menuju ke garisan penamat masih jauh, isu-isu yang menghimpit rakyat seperti peningkatan harga barang naik (bn) kesan daripada lonjakan harga minyak, dampak sosial seperti jenayah dan kemiskinan pastinya wajar dilunaskan dengan hikmah dan secara agresif. Jika dibiarkan ia dimanipulasi oleh PR, ia akan menutup kelemahan pemerintahan mereka sebaliknya melebarkan kegagalan pentadbiran BN membela nasib dan kebajikan rakyat!

Sunday, June 1, 2008

Kaji Cadangan Wujud Pusat Hiburan Muslim di Kuantan!


SETIAP kali tiba musim cuti persekolahan, Kuantan akan menjadi salah sebuah bandar yang paling sibuk dengan kenderaan di negara ini. Kesibukannya mungkin boleh dikatakan bertambah empat atau lima kali ganda berbanding pada hari-hari biasa.
Sebagai sebuah bandar pelancongan, apa yang berlaku adalah perkara biasa. Kehadiran para pelancong ke Kuantan tidak dapat dinafikan kerana di sini terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati terutama dari segi keindahan pantai-pantainya.
Cherating dan Teluk Chempedak misalnya merupakan destinasi percutian yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Selain pantai-pantai popular tersebut, terdapat juga beberapa 'pantai baru' yang tidak kurang hebat dari segi pemandangan dan keindahan alamnya.
Antaranya ialah pantai Sepat. Terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuantan, keprihatinan pihak tertentu mengubah lanskapnya daripada 'pantai yang sepi' menjadi kawasan riadah lengkap dengan gerai makan dan tempat letak kereta memberi satu lagi pilihan kepada pelancong yang gemar menikmati panorama alam saujana mata memandang.
Menariknya berada di kawasan ini ialah kita akan turut terbuai dengan ayunan pohon-pohon rhu yang tumbuh berbaris setiap kali deruan angin datang menghembus sepoi-sepoi bahasa.
Di sebalik 'kehebatan' pantai sedia ada, jika diteroka lebih jauh, Kuantan juga sebenarnya tidak sunyi daripada aktiviti malam.
Dilaporkan terdapat 135 pusat hiburan berlesen beroperasi di bandar ini.
Malah keadaan itu sering menjadi tarikan orang luar terutama golongan muda dari negeri jiran seperti Terengganu dan Kelantan untuk mendapatkan hiburan pada hujung minggu.
Kebanjiran mereka ini tidak dapat dinafikan turut menyumbang kepada meningkatnya gejala sosial di bandar Kuantan.
Bimbang dengan perkara tersebut, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) baru-baru ini mencadangkan supaya diperkenalkan pula pusat hiburan Islam atau pub Muslim.
Tujuannya baik iaitu sebagai menangani atau usaha untuk menghalang kegiatan luar kawalan yang sering berlaku di pusat-pusat hiburan konvensional.
Apa yang dimaksudkan sebagai pub Muslim ialah pusat hiburan yang tidak mengandungi jualan bahan-bahan haram seperti alkohol atau menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang dilarang dalam Islam.
Sebaliknya, ia menjadi tempat istirehat sambil mendengar lagu atau melakukan aktiviti sihat di kalangan ahli keluarga dan sahabat handai yang inginkan sedikit kelainan ketika berada di luar rumah.
Jika ini menjadi kenyataan, Kuantan bakal menjadi bandar pertama di negara ini yang akan memperkenalkan 'pusat hiburan bermoral.'
Hakikatnya kewujudan pub Muslim seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia telah diperkenalkan di beberapa negara di Eropah bagi menarik pelancong Islam.
Sekali fikir, cadangan MPK mahu mewujudkan pub Muslim wajar diberi perhatian sekiranya ia mampu mengurangkan gejala sosial yang kian membimbangkan.
Bagaimanapun semestinya juga, satu kajian yang lebih menyeluruh patut dilakukan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan. Saya sendiri pernah ditanya oleh akhbar Sinar Harian tentang isu ini dan disiarkan di muka hadapan akhbar itu bertarikh 10 Mei 2008, mengenai cadangan supaya ia dikaji agar tidak menerapkan falsafah matlamat menghalalkan cara. Ini berikutan 'pub' itu sendiri membawa konotasi yang negatif di dalam Islam.Satu garis panduan yang jelas perlu direncanakan termasuk aspek pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan Muhrim, penguatkuasaan dan pemantauan termasuk "remodelling" pusat ini seperti Pusat Hiburan Keluarga . Pihak berkuasa tempatan sewajarnya membuat penelitian yang fokus bagi mengelak ia disalah erti oleh golongan tertentu memandangkan ia berkait rapat dengan sensitiviti umat Islam. Jika lebih banyak mudarat daripada kebaikan , adalah lebih baik ia dilupakan dan tidak dilaksanakan . Sebaliknya pusat hiburan yang sedia ada wajib dipantau modus operandinya samada mematuhi peraturan dan diklasifikasikan sebagai zon hiburan positif.

Thursday, May 8, 2008

Ketuanan Melayu Di Sanggah!

Sikap dan tembelang sebenar kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya DAP semakin terserlah. Ternyata mereka semakin berani bermain api dengan mempersoalkan kedaulatan kuasa raja-raja Melayu. Yang menjadi kemusykilannya mana suara pimpinan PAS yang cuba bermain selamat (play-safe), dan pemimpin Melayu dalam PKR?
Hakikatnya, isu ini telah menyedarkan segelintir kaum Melayu terhadap kepentingan kuasa pemerintahan Melayu wajib dikekalkan, dan bukannya isu ketuanan Melayu ini sengaja dipolemikkan. Sebaliknya, parti DAP menggunakan isu ini sebagai medan ujian untuk memperlihatkan sejauh mana rapuhnya pakatan Melayu dalam berdepan dengan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Di sini pentingnya perpaduan Melayu menjadi teras kepada pembinaan bangsa Malaysia yang lebih berhemat, maju dan berwawasan. Jika kita hendak melihat bangsa Melayu terus menerajui kuasa pemerintahan, mulakan lah dengan menyedari tugas dan tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan tanahair!

Wednesday, February 27, 2008

Pentas Arena Memilih Kepemimpinan Rakyat Bermula


Segala spekulasi akhirnya terjawab apabila angka keramat "13" menjadi pilihan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen, menandakan pentas arena memilih kepemimpinan rakyat bermula.
Kekuatan jentera parti Barisan Nasional (BN) memang tidak dapat dinafikan lagi kemaraannya manakala, barisan parti pembangkang pula kelihatan masih bercelaru.
Semangat kerjasama antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 1999 semakin kabur.
Gerak gempur barisan pembangkang itu yang digembar-gemburkan pada dua pilihan raya terdahulu, boleh dianggap hanya tinggal nama semata-mata. Kini ketiga-tiga parti pembangkang terbabit bergerak bersendirian.
Malah, sejak kebelakangan ini, 'perjuangan' mereka tampak ketandusan isu dan dangkal matlamat.
Berbeza dengan dua pilihan raya umum sebelum ini, kali ini tekanan dan kemelut politik bukan dicetuskan parti politik, sebaliknya, ia dicetuskan pula oleh kumpulan rakyat yang meluahkan perasaan tidak puas hati dengan pelbagai isu yang menyentuh kehidupan mereka.
Ini termasuk tindak-tanduk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).
Namun, ketegasan kepemimpinan kerajaan menangani demonstrasi jalanan dan bertindak terhadap pemimpin Hindraf, berjaya menenangkan keadaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah menyifatkan PKR sebagai parti yang 'mencelarukan' berikutan keputusan PKR Kelantan untuk tidak menyertai pilihan raya umum kerana tidak berpuas hati dengan Pas, manakala DAP bergerak sendirian kerana tidak mahu lagi dipalitkan dengan isu negara Islam yang sudah pasti akan terus menjadi tonggak perjuangan Pas.
Walaupun tidur berbantalkan kekabu yang sama, namun mimpi dan impian berbeza di kalangan pembangkang, dengan Pas mahu menubuhkan sebuah negara Islam, PKR dengan perjuangan yang masih belum jelas, manakala DAP kekal dengan slogan Malaysian Malaysia, memerlukan rakyat berfikiran matang dalam membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang.
Situasi di Pahang pula tidak banyak bezanya berbanding dengan isu pilihanraya ke 11, memandangkan kepimpinan negeri di bawah Datuk Seri Adnan Yaakob masih mengekalkan dan konsisten dengan label sebagai pemimpin rakyat dan mendokong pendekatan negeri kebajikan dan pendidikan sebagai teras pembinaan bangsa dan pembangunan negeri.
Kalau tidak masakan hampir semua kerusi DUN di Pahang dibolot dan diraih oleh BN, yang hanya meninggalkan baki satu kerusi sahaja kepada pihak pembangkang. Mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa beliau bersedia pada bila-bila masa melepaskan kedudukan yang disandang sekarang jika menerima arahan berbuat demikian kerana katanya, semua itu adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar. Ini menunjukkan beliau meletakkan kepentingan parti dan pucuk pimpinan melebihi kepentingan peribadi beliau sendiri.
Ternyata, selama ini prospek pembangunan di Pahang berada pada landasan yang betul dan sesuai melalui perencanaan dasar yang diterjemahkan kepada Projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri.
Ini menyanggah tanggapan bahawa quo vadis atau halatuju kemajuan negeri kubu kuat BN ini yang sebelum ini kabur dilihat bersinar kembali.
Lantaran, rekod kad laporan prestasi dan pencapaian kerajaan yang sedia ada di bawah kepimpinan pemimpin yang mesra di kalangan mahasiswa dengan panggilan "Pak Long"(government of the day) wajar dikekalkan untuk meneruskan kesinambungan rencana pembangunan yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Walaupun terdapat dakyah pembangkang yang membuat perbandingan dengan negeri jiran seperti Terengganu, namun Pahang ada resepi kemajuan tersendiri dan membangunkan negeri mengikut acuannya.

Pertabalan Anugerah Kepimpinan Belia Pahang 2006


Penulis bersama Mentor Besar Dato Sri Adnan Yaakob

selepas menerima anugerah kepimpinan belia Pahang 2006

di Dewan Majlis Daerah Maran, Jun 2006. Syabas bro!

ISU KONTRAK SOSIAL DAN PERPADUAN KAUM


Kontrak sosial adalah satu perjanjian antara kaum Melayu dengan bukan Melayu di Malaysia. Ia diwujudkan supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai seperti dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan Malaysia dan kini menjadi sebahagian Perlembagaan Malaysia dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera.

Keperluan generasi muda khususnya belia memahami kandungan kontrak sosial dilihat sesuatu yang penting demi kebaikan umum pada masa ini memandangkan negara berhadapan pelbagai cabaran dan tuntutan yang memerlukan masyarakat khususnya generasi pasca merdeka menjiwainya.

Sayugia diingatkan, ia membentuk asas moral, undang-undang, ekonomi dan politik bagi pengagihan polisi keadilan di negara ini. Inilah dasar yang kadangkala dikritik kononnya sebagai diskriminasi oleh mereka yang jahil mengenai persetujuan dicapai oleh semua pihak dan persekitaran yang mendorong kewujudannya. Kaum utama ini turut diberi hak pendidikan dalam bahasa ibunda mereka, tetapi bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah kebangsaan, kaum Cina dan India diberi kebenaran untuk mengadakan pendidikan rendah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Hanya segelintir negara di dunia ini yang mengizinkan kebebasan seumpama itu. Begitu juga, kebebasan beragama, semua kaum bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, bagaimanapun Islam diberi status sebagai agama rasmi negara.

Oleh itu, kontrak sosial adalah teras perpaduan rakyat Malaysia selama ini. Hargai lah nikmat dan anugerah keamanan yang dikurniai dan dikecapi ini dengan memperkukuhkan persefahaman dan kesepakatan yang dibina secara bersama-sama, pertingkatkan lah integrasi dan elakkanlah kontroversi.

Memorial di Istana Presiden 2003

SESI BERSAMA PRESIDEN INDONESIA, MEGAWATI SUKARNOPUTRI
PADA 2003 SEMPENA PROGRAM KAPAL BELIA ASIA (SSEAYP 03)